Archive for July, 2007

tawakkal je la…(?? kdg2 trpk cm tu gak.. huhu)

Monday, July 9th, 2007

Tawakkal



dh start xm pon..3 more papers to go.. bru trbce artikel ni td..

insyaAllah, wat pedoman bersama.. =)


Realiti

Kata-kata yang biasa kedengaran di saat-saat imtihan akhir (final
exam) semakin hampir (2 hari atau lebih..subjektif) . Namun begitu,
persoalannya, benarkah begitu mudah untuk melafazkan kalimah tawakal?
Benar atau tidak persoalan ini bukanlah ditentukan oleh ana, tetapi
biarlah sirah junjungan (saw) menjadi hakim terbaik kepada persoalan
ini. Marilah bersama-sama menelusuri peristiwa hijrah baginda (saw).

Peristiwa Hijrah Nabi saw

Umar ra telah pun berhijrah. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain. Abu Bakar
ra juga ingin turut serta meninggalkan kota Mekah yang penuh fitnah
itu. Namun begitu, sudah menjadi kelaziman bagi para sahabat
mengutamakan kalam Nabi berbanding pendapat mereka sendiri. Abu Bakar terlebih dahulu meminta izin dari Rasulullah untuk turut berhijrah.

Jawapan daripada baginda adalah agar Abu Bakar bersabar buat sementara waktu kerana baginda masih lagi menunggu kebenaran dari Illahi. Abu Bakar juga memahami akan kehendak Nabi yang menginginkan dirinya menjadi teman hijrah baginda nanti. Abu Bakar telah mengambil inisiatif dengan menyediakan 2 ekor unta untuk tujuan hijrah nanti.

Sehinggalah detik yang ditakdirkan, Allah telah memberikan keizinan
buat baginda untuk berhijrah. Pada waktu siang yang panas, Rasulullah
datang ke rumah Abu Bakar untuk menyampaikan berita keizinan dariNya.
Tanpa berlengah, sepertimana yang diceritakan oleh Aisya ra, beliau bersama saudaranya Asma’ dengan serta merta menyiapkan bekalan buat Rasul dan ayahanda tercinta.

Maka keluarlah baginda bersama Abu Bakar di siang hari menuju ke
transit yang pertama di Gua Thur. Baginda dan Abu Bakar bersembunyi di
gua tersebut selama 3 malam. Persembunyian ini bukanlah bermaksud
terputusnya maklumat baginda dengan dunia luar. Di sinilah letaknya
peranan putera Abu Bakar, Abdullah yang dilantik menjadi “informer” selama mana baginda berada di gua tersebut terutamanya perkembangan di kota Mekah.

Demi menghapuskan jejak-jejak Abdullah ke Gua Thur, Amir b. Fuharah,
orang suruhan Abu Bakar telah ditugaskan untuk membawa kambing-kambing
gembalaannya berhampiran dengan gua Thur. Selain itu, peranan dibawa
kambing-kambing itu adalah sebagai pembekal susu kepada Rasulullah dan
Abu Bakar.

Takdir Allah mengatasi tadbir manusia. Biarpun
perjalanan hijrah baginda dipenuhi dengan strategi, jejak mereka di Gua
Thur hampir-hampir diketahui oleh pihak Musyrikin Quraisy. Hampirnya
mereka dengan kedudukan baginda menurut riwayat adalah sekiranya mereka
(Musyrikin) memandang ke bawah kaki mereka, nescaya ditemui mereka
Rasulullah. Keadaan yang serba cemas ini telah menggugat ketenangan
hati sahabat akrab, Abu Bakar. Dengan jiwa yang tenang, Baginda
bersabda,

“Wahai Abu Bakar, apa katamu bahawa di samping yang berdua itu ada yang ketiga iaitu Allah.” (Sahih Bukhari, bab Sahabat Nabi)

“Jikalau Allah menolong kamu, maka tidak adalah orang yang dapat mengalahkannya. .” (Surah Ali Imran 3:160)

Allah telah mendatangkan bantuan, dengan melupakan sekelian kaum
Musyrikin akan kebarangkalian bahawa Rasulullah bersembunyi di dalam
gua yang hanya terletak di bawah kaki mereka.

‘Ibrah (pengajaran)

Begitulah ringkasan perjalanan hijrah Nabi saw yang dipenuhi mehnah
dan tribulasi. Tidaklah menepati tujuan sirah andainya kita sekadar
menjadikan kisah di atas sebagai bahan ilmiah tanpa mengambil iktibar
dan bertindak di atas kesedaran iktibar itu. Iktibar apakah yang
terbaik selain dari iktibar Rasulullah?

“…telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu…” (Ahzab 33:21)

Inilah jawapan kepada persoalan tawakal di awal artikel. Lihatlah
persediaan hijrah Rasulullah. Dengan kehadiran Abu Bakar sebagai teman,
peranan Abdullah b Abu Bakar sebagai “informer” dan lain-lain sudah
cukuplah memberi gambaran akan tersusun rapinya perancangan hijrah
baginda demi mengelakkan dari dikesan oleh Musyrikin. Namun, apabila
keadaan menyebabkan tiada lagi ikhtiar yang mampu dilakukan (ketika
Musyrikin berada di hadapan gua), baginda tidak berasa gentar dan menyerahkan segalanya pada Allah semata. Kesimpulannya Rasulullah saw hanya menyerahkan sebulatnya pada Allah setelah setiap ruang ikhtiar telah diusahakan.

Praktikal

Kejayaan tidak datang bergolek,. Buat sahabat-sahabat sekalian,
marilah melangkah ke medan perjuangan finals dengan keazaman yang baru
dengan meneladani kesungguhan Rasulullah dalam berikhtiar. Fikirlah
semasaknya sebelum kita melafazkan kalimah tawakal, benarkah sudah
tiada lagi jalan ikhtiar, ataupun kita sendiri yang menutup jalan-jalan
ikhtiar dengan benteng kemalasan? Tepuk dada, tanyalah iman. Mari
sahabat! BERUSAHA!! BERTAWAKAL!!
syah2873

Rujukan:

a) Dr Sa’id Ramadhan Al Buti, Fiqh Sirah
b) Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Sanggahan terhadap Salah Tafsir terhadap  Islam
c) Peristiwa Hijrah menurut Riwayat Bukhari, www.darulkautsar. com